Siapa sangka negara kecil dan kerdil seperti Malaysia mampu mempunyai banyak bangunan tertinggi setanding negara luar yang lebih besar dan maju dari Malaysia.
Berdirinya bangunan-bangunan tinggi seperti ini di sesebuah negara itu menandakan negara tersebut sedang berkembang maju dan pesat. Hal ini kerana, kos perbelanjaan untuk pembinaan bangunan-bangunan ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Menelusuri sejarah, Malaysia mempunyai bangunan tertingginya yang pertama pada tahun 1985, iaitu Menara Komtar. Menara Komtar yang terletak di Georgetown, Pulau Pinang ini mempunyai ketinggian 200 meter. Ianya menjadi permulaan kepada pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit yang lain di Malaysia.
Menjelang tahun 2023 ini semakin banyak bangunan-bangunan tinggi yang telah pun dibina.
Oleh itu, dalam perkongsian kali ini kita akan berkongsi berkenaan 5 bangunan tertinggi di Malaysia.
Menara Merdeka 118 Kuala Lumpur
Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur |
Menara Merdeka 118 Kuala Lumpur
Menara Merdeka 118 Kuala Lumpur ini telah mencuri takhta Menara Berkembar Petronas sebagai bangunan tertinggi di Malaysia. Menara ini dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad dan berketinggian 678.9 meter.
Bangunan tertinggi di Malaysia ini mempunyai 118 tingkat. Bangunan yang mula dibina pada tahun 2014 ini telah berjaya disiapkan pada tahun 2022 yang lalu. Pembinaan bangunan ini telah menelan belanja sebanyak RM5 bilion.
Apa yang menariknya, rekaan bangunan ini telah diilhamkan dari peristiwa pengisytiharan kemerdekaan yang pertama oleh Tunku Abdul Rahman di mana Tunku Abdul Rahman mengangkat tangan semasa melaungkan kalimah keramat “Merdeka”.
Menarik bukan? Bangunan ini terdiri daripada ruang kediaman, ruang pejabat, ruang untuk tujuan komersil, rekreasi dan juga hotel mewah.
Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur
Bangunan kedua tertinggi ini tidak perlu lagi diperkenalkan. Menjadi kebanggan rakyat Malaysia kerana pernah memegang gelaran menara tertinggi di dunia dari tahun 1998 sehingga tahun 2004 selepas dipintas oleh Taipei 101 dan Burj Khalifa.
Namun, ianya masih kekal sebagai bangunan berkembar tertinggi di dunia dan menduduki tempat ke 11 bagi kategori bangunan tertinggi di dunia.
Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur mempunyai ketinggian 451. 9 meter dan terdiri daripada 88 tingkat. Ianya siap dibina pada tahun 1996. Tempoh pembinaan bangunan ini mengambil masa selama 3 tahun yang bermula pada tahun 1993 dan siap sepenuhnya pada tahun 1996.
Rekabentuk bangunan ini menerapkan motif kesenian Islam dan direka oleh arkitek berbangsa Argentina-Amerika bernama Cesar Pelli. Pembinaan bangunan ini menelan belanja sebanyak USD 1.2 bilion.
Bangunan milik Petronas ini menempatkan ruang pejabat, pusat membeli belah dan banyak lagi. Sehingga kini, bangunan ini masih menjadi ikon kebanggan rakyat Malaysia dan menjadi tempat yang wajib dilawati bagi pelancong yang datang ke Malaysia.
Menara Telekom Kuala Lumpur
Menara Telekom menjadi bangunan ketiga tertinggi di Malaysia selepas Menara Merdeka 118 dan Menara Berkembar Petronas. Pembinaan menara yang berketinggian 310 meter ini mempunyai 77 tingkat dan terletak di bersebelahan dengan Lebuhraya Persekutuan.
Jika arkitek yang mereka Menara Berkembar Petronas adalah orang Argentina-Amerika, namun berbeza bagi Menara Telekom ini apabila arkitek tempatan telah diberi peluang untuk mereka bentuk bangunan ini.
Bangunan yang direka dengan menerapkan konsep rebung ini telah direka oleh arkitek tempatan bernama Hijjas Kasturi manakala struktur Menara Telekom pula diberi sentuhan oleh Latiff Mohidin. Dilancarkan dan dirasmikan pada tahun 2003 oleh Perdana Menteri pada ketika itu, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi kebanggaan buat seluruh warga kerja Telekom Malaysia.
Bagi mencerminkan Telekom Malaysia sebagai sebuah syarikat yang progresif, unsur tradisional dan moden telah digabungkan dalam reka bentuk bangunan ini iaitu melalui penggabungan reka bentuk buluh dengan cengkaman akar yang mana ia juga dapat membentuk asas yang kukuh. Unik bukan?
Selain itu, perjalanan Telekom Malaysia yang berliku diterjemahkan dalam seni bina Menara Telekom. Pembinaan Menara Telekom ini sememangnya mempunyai maksud yang sangat signifikan terhadap syarikat pembekal telekomunikasi ternama negara ini.
Four Seasons Place Kuala Lumpur
Bangunan tertinggi keempat jatuh kepada bangunan Four Season, Kuala Lumpur. Dengan berketinggian 342.5 meter dan mempunyai 74 tingkat ini juga turut dikenali dengan nama Four Seasons KLCC dan Menara FSP KLCC.
Jika dilihat dengan mata kasar bangunan ini seperti mempunyai sebuah mahkota setinggi 21 m (69 kaki) yang diperbuat daripada keluli di bahagian atas menara.
Bangunan ini dibangunkan oleh seorang taikun dari Singapura namun lahir di Ipoh iaitu Ong Beng Seng. Selain itu, pembinaan bangunan ini juga turut melibatkan kerjasama bersama dengan Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir dan Sultan Selangor di bawah syarikat Venus Assets Sdn Bhd
Seperti yang ramai tahu, Four Season Place ialah sebuah hotel bertaraf 5 bintang dan pembinaan bangunan Four Seasons Place ini adalah yang pertama di Asia Tenggara. Apa yang lebih menarik ialah bangunan ini adalah hotel tertinggi ketiga di dunia. Pembinaan bangunan ini memakan masa selama lebih 5 tahun.
Bersaksikan Pengerusi Venus Assets, Tan Sri Syed Yusof serta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah projek pembinaannya telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak pada 30 Januari 2013 dan siap sepenuhnya pada tahun 2018.
Selain hotel, bangunan ini juga turut menempatkan pusat membeli belah yang mewah dan juga kediaman.
Astaka Padu Apartment Johor Bahru
Sumber: https://www.autowaste.com.my/project-developements/astaka-1-johor
Bangunan terakhir yang juga bangunan kelima tertinggi di Malaysia jatuh kepada Astaka Padu Apartment, Johor Bahru. Ini adalah sebuah bangunan yang terletak di luar Kuala Lumpur.
Astaka Padu Apartment merupakan bangunan berkembar tertinggi di negeri Johor dan terdiri dari 2 menara iaitu Menara A dan Menara B. Pemandangan menakjubkan seluruh negeri Johor boleh disaksikan dari atas bangunan ini.
Untuk pengetahuan, Astaka Padu Apartment ini adalah merupakan kompleks kediaman berkembar yang mewah dan ekslusif. Ketinggian bagi kedua-dua menara ini ialah berbeza iaitu Menara A berketinggian 278.9 meter manakala Menara B ialah 255.6 meter.
Menara A ialah bangunan tertinggi di Johor Bahru juga bangunan tertinggi di Malaysia yang terletak di luar Kuala Lumpur. Manakala Menara B pula menduduki tempat kedua bagi bangunan tertinggi di Johor Bahru.
Kedua-duanya siap dibinia sepenuhnya pada tahun 2017. Bangunan yang menempatkan 438 pangsapuri ini dibina di Zon A Iskandar Malaysia. 438 pangsapuri ialah ini termasuk dupleks penthouse yang mana secara ekslusifnya dimiliki oleh Sultan Johor.
Kesimpulannya, kesemua 5 bangunan tertinggi di Malaysia ini mempunyai ketinggian yang melebihi 150 meter dan layak mendapat gelaran bangunan pencakar langit. Hal ini kerana, mengikut standard piawaian, bangunan pencakar langit perlu mempunyai ketinggian melebihi 150 meter.
Pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit ini sememangnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kita membuktikan, pada tahun 2023 ini kita mampu berdiri sama tinggi dengan negara besar lain. Malaysia Boleh!
Jadilah profesional hartanah IQI hari ini dan manfaatkan kuasa teknologi hartanah terkini untuk menyerlahkan kerjaya anda!
[hubspot type=form portal=5699703 id=85ebae59-f425-419b-a59d-3531ad1df948]