Cover image source: Iluminasi
Minimalis seolah-olah telah menjadi trend hangat masyarakat kita kerana apabila ditanya mereka lebih memilih konsep minimalis daripada konsep yang padat dan penuh dalam kehidupan mereka.
Minimalis boleh merujuk kepada apa sahaja perkara daripada seni dan gaya hidup kepada seni bina dan dekorasi rumah. Bagi aspek dekorasi rumah, ramai lebih sukakan dekorasi yang minimalis dan ringkas yang boleh membuatkan rumah nampak lebih luas dan teratur.
1. Apa Itu Deko Rumah Minimalis? |
1. Apa Itu Deko Rumah Minimalis
Seperti namanya, deko rumah minimalis bukanlah gaya yang hebat atau mewah tetapi tidak bermakna tiada reka bentuk dan gaya. Dekorasi rumah minimalis memberikan kesopanan dan rupa anggun kepada reka bentuk rumah kerana kemodenan dan kesederhanaannya.
Istilah minimalis digunakan untuk menggambarkan trend dalam reka bentuk dan seni bina di mana elemen yang digunakan dikurangkan mengikut keperluan dan keselesaan penghuni rumah. Ia hanya untuk memastikan rumah kelihatan mudah dan sedap dipandang.
Moto utama dekorasi rumah minimalis adalah kesederhanaan. Minimalis meneruskan trend menolak reka bentuk yang berat dan hiasan lama, tetapi memikirkan gambaran yang bersih, moden, dan pilihan warna yang ringkas.
2. Aspek Deko Rumah
a. Warna
Pemilihan warna neutral dalam deko rumah amat penting bagi mencipta ruang tamu, bilik tidur dan ruangan rumah lain yang nyaman dan selesa serta berkonsepkan minimalis kepada penghuni. Dengan pemilihan palet warna yang ringkas, anda akan mempunyai arah yang lebih baik dalam mencipta rumah minimalis moden yang disunting dengan baik dengan warna neutral yang mudah digunakan termasuk warna putih, krim dan warna pastel.
Kebanyakan rumah minimalis mempunyai dinding putih di setiap bilik, yang sesuai dengan trend tahun ini. Cukup sekadar tiga warna sahaja yang dipilih bagi setiap bilik, untuk memastikan konsistensi yang nyaman di mata. Dan kalau boleh kita pastinya nak elakkan ruangan yang nampak sempit, sesak dan tertutup, bukan?
b. Perabot
Photo Credit: Vogue
Rumah yang mempunyai deko minimalis selalunya tidak penuh dengan perabot kerana penghuni lebih sukakan perabot yang berguna serta praktikal dan bukannya nampak menarik semata-mata. Perabot yang multi-function dapat menjimatkan ruang, menyembunyikan barang yang kacau pandangan.
Perabot ottoman antara variasi kelengkapan perabot yang boleh disusun dan menjadi pelengkap hiasan ruang dalaman. Dengan storan bertutup menjadikan ia pilihan tempat duduk yang sangat baik apabila tetamu nak datang ke rumah, yang turut berfungsi sebagai meja sisi atau tempat letak kaki. Selain itu, barangan seperti throw blanket sofa, bakul atau peti rotan dengan penutup, dan meja konsol yang boleh bertukar menjadi meja adalah perabot pilihan peminat rumah deko minimalis.
c. Ruang
Photo Credit: Marie-jo
Deko rumah minimalis lebih kurang sama saja dengan reka bentuk dalaman moden dan melibatkan penggunaan keperluan kosong untuk mencipta ruang yang ringkas dan tidak bersepah. Ia dicirikan oleh kesederhanaan, garisan bersih dan palet monokromatik dengan warna digunakan sebagai penekanan. Biasanya deko ruang minimalis menggabungkan pelan lantai terbuka, banyak cahaya, hanya perabot penting dan berfungsi, serta memfokuskan pada segelintir elemen penting pada bentuk, warna dan tekstur.
Semua yang berkaitan minimalis adalah tentang mewujudkan lebih banyak ruang. Ruang di sini bermaksud menunjukan kebebasan, kedamaian dan kesengajaan.
d. Ruang Simpanan
Tiada ruang simpanan yang mencukupi adalah risiko. Kerana jika kita kehabisan ruang, kita mula membuat sepah, dan akhirnya semua barang berada di kawasan rumah yang tidak sepatutnya. Ironinya, kita jarang bertanya soalan, adakah kita memerlukan semua perkara yang kita miliki sekarang? Jika nak mengurangkan, perlu ke membuang semua barang itu?
Walaupun minimalis adalah tentang hidup dengan kurang barang, ini tidak bermakna anda perlu melepaskan semua barangan anda dan meninggalkan rumah anda bersih, putih dan kosong. Dalam deko rumah minimalis, anda hanya kekalkan barangan yang minimum dan menyimpannya dalam ruang simpanan atau storan. Pindahkan kekacauan dari ruang terbuka ke ruang tersembunyi. Ia menjamin penggunaan ruang simpanan yang bijak dan tersembunyi untuk mengelakkan sebarang gangguan atau kekusutan.
e. Barang Pelbagai Fungsi
Alatan barang zaman kini telah berkembang jauh dari satu penggunaan semata kepada barangan pelbagai fungsi atau multipurpose. Barangan pelbagai fungsi memainkan peranan dalam deko rumah yang minimalis dan biasanya merupakan jalan keluar bagi mereka yang mempunyai rumah kecil.
Contohnya, sofa menjadi katil, meja dan lampu disatukan dalam satu bahagian yang menarik, katil bertingkat dengan meja belajar di bahagian bawah, dll.
Barangan perabot pelbagai fungsi telah membuat gelombang kerana ia mengurangkan perkara yang tidak perlu dan menjimatkan ruang. Ini adalah era perabot dan barang pelbagai fungsi. Bak kata ramai orang, pilih kualiti bukan kuantiti.
f. Dinding
Dalam deko rumah minimalis, tidak bermakna ruang dinding harus kekal kosong. Penggunaan kemasan dinding yang ringkas dan tidak rumit seperti wallpaper, wallboard, wainscoting atau tampalan deko di dinding cukup menjadi pilihan ramai orang kita.
Wallpaper dan wallboard kita biasa dengar, tapi apa tu wainscoting? Wainscoting ni dikenali juga sebagai wall moulding, atau kat Malaysia, ada yang panggil deko panel kayu. Selalunya diletak di pintu ataupun ruang makan untuk nampak mewah tapi masih kekalkan ciri minimalis. Ianya lebih murah jika direka dan dibuat sendiri berbanding mengupah kontraktor. Tak rumit mana pun, pergi je beli skirting atau panel kayu di kedai hardware. Selagi boleh jimat, kita jimat!
g. Dapur Kemas Terletak
Photo Credit: Giselle
Rata-rata dapur rumah di Malaysia tidaklah terlalu besar, jadi pemilihan deko yang minimalis untuk pusat rumah ini amatlah digalakkan. Tiada rumah minimalis boleh lengkap tanpa dapur yang kemas, canggih dan tersendiri, oleh itu apa kata anda hanya memilih saiz peralatan dapur yang kecil untuk menjimatkan ruang tapi masih mempunyai pelbagai fungsi. Antaranya adalah rak multi-layer, pressure cooker, air fryer dan blender.
Sebagai permulaan, pastikan anda mendapatkan kabinet, perkakasan dan pinggan mangkuk yang penting sahaja. Perkakas dan pinggan mangkuk yang bercorak ringkas bersama-sama dengan kabinet yang direka dengan storan pintar amat digalakkan untuk memastikan dapur anda sentiasa kemas terletak dan bebas daripada kekusutan. Ini juga memudahkan anda untuk mengemas dan mencucinya. Jangan susahkan diri anda, okay!
3. Inspirasi Deko Rumah
a. Inspirasi Ala-ala Muji
Reka bentuk seakan negara Jepun amat unik dan sangat dicari. Minimalisme bukanlah konsep baru bagi orang Jepun, kerana secara umumnya rasa reka bentuk dalaman mereka sentiasa agak minimalis.
Kalau nak ambil ilham ala jepun ni, amat digalakkan menggunakan warna dan perabot kayu semula jadi yang diperbuat daripada kayu Jepun.
b. Inspirasi Rumah IKEA
Sekarang, inspirasi deko rumah ini adalah sesuatu yang ramai daripada kita inginkan! Gaya reka bentuk ruang tamu minimalis ini berfungsi dengan baik untuk kondo dan pangsapuri yang menghadap ke bandar.
Sekali lagi, pastikan banyak penekanan pada cahaya matahari pada waktu siang bagi hidupkan suasana, di samping tahu mematikan cahaya yang terlalu terang pada waktu malam.
c. Inspirasi Rumah Pantai
Photo Credit: House Of Turquoise
Sudah tentu, tidak semua orang mempunyai rumah pantai, tetapi konsep ini akan berfungsi untuk ruang tamu yang mempunyai tingkap besar dan banyak cahaya matahari.
Perkara penting dalam reka bentuk ini ialah mengambil kira arah cahaya matahari sepanjang hari, dan aktiviti yang akan anda lakukan pada masa tersebut. Mempunyai siling tinggi adalah satu kemestian!
d. Inspirasi Minimalis Eklektik
Gaya Eklektik melibatkan percubaan dengan kombinasi liar untuk mencari sesuatu yang berfungsi bersama. Gaya ini lebih sukar untuk dicapai.
Ia melibatkan menggabungkan elemen reka bentuk dalaman moden dan tradisional ke dalam ruang tamu minimalis yang harmoni.
e. Inspirasi Rumah Kayu
Minimalis ala kampung ialah gaya yang lebih kepada menghidupkan ruang tamu anda. Seperti tempat santai di mana anda sekeluarga boleh berkumpul, berbincang dan bersosial.
Gaya ini juga terkenal kerana menggunakan unsur semula jadi seperti kayu dalam bentuk yang paling asas.
Sekarang anda sudah tahu serba sedikit tentang apa itu deko rumah minimalis. Jadi, apa kata anda aplikasikan pengetahuan ini dalam menghias rumah anda. Deko rumah minimalis tak perlu keluarkan belanja banyak pun, cukup sekadar termampu. Ukur baju di badan sendiri okay!
Kami mempunyai profesional perunding hartanah yang sedia membantu. Sila isi borang di bawah untuk berhubung dengan mereka!
[hubspot type=form portal=5699703 id=85ebae59-f425-419b-a59d-3531ad1df948]